Tuesday, December 6, 2016

CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN

             1.0         PENGENALAN
Dalam Bahasa Inggeris, usahawan diterjemahkan sebagai “Entrepreneur”. Perkataan ini diterjemahkan dari perkataan Perancis “entreprendre” yang membawa maksud memikul tugas atau mencuba. Perkataan “entreprendre” telah digunakan semenjak tahun 1775 oleh Richard Cantillon yang merujuk kepada kegiatan dalam keusahawanan. Manakala, dalam Bahasa Melayu, usahawan membawa maksud orang yang mengusahakan sesuatu perniagaan. Usahawan ditakrifkan sebagai orang yang mengendalikan sesebuah perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya.
Keusahawanan merupakan ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang usahawan dalam menjana idea-idea baharu untuk perniagaan. Sebagai contohnya, Kao (1995) mendefinisikan keusahawanan sebagai satu proses mencipta sesutu yang baru dan berbeza dan usahawan-usahawan tersebut merupakan individu-individu yang terlibat dalam proses ini. Selain itu, Kuratko dan Hodgetts (2004) juga menyatakan definisi keusahawanan sebagai suatu proses inovasi dan penciptaan melalui empat dimensi iaitu individu, organisasi, persekitaran dan proses yang dibantu oleh jaringan kerjasama kerajaan, pendidikan dan institusi-institusi.
Di samping itu, usahawan yang berjaya dapat dibezakan daripada individu lain. Hal ini demikian kerana usahawan dikatakan mempunyai ciri-ciri dan profil diri yang unik dan hebat serta mempunyai kompetensi keusahawanan iaitu kemampuan dan kemahiran diri untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan. Antara ciri yang dimiliki oleh usahawan yang berjaya adalah mempunyai jaringan seperti jaringan peribadi, jaringan awam dan jaringan perniagaan, mengambil risiko yang sederhana, proaktif, pemerhatian, berwawasan, budaya terbuka, kegagalan adalah suatu pilihan, berorientasikan pasukan serta berorientasikan hasil.
Secara ringkasnya, ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki akan menjurus mereka untuk menjadi lebih yakin serta lebih bersedia untuk merebut peluang serta berhadapan dengan cabaran. Hal ini kerana demikian bidang keusahawanan akan dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

            2.0       CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN
2.1       MEMPUNYAI JARINGAN
Hubungan yang sedia ada atau dibentuk dan dikekalkan oleh usahawan dengan orang sekeliling bagi mendapat manfaat bersama. Jaringan usahawan sangat penting dalam mengembangkan sesebuah perniaagan. Ia juga diperlukan oleh usahawan terutamanya dalam peringkat permulaan dan pengembangan perniagaan mereka. Kebiasaannya jaringan ini wujud tanpa kita sedari. Antaranya adalah jaringan peribadi, jaringan awam dan jaringan perniagaan.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary merupakan seorang tokoh usahawan yang mempunyai jaringan yang kuat di dalam mahupun di luar negara. Beliau dilahirkan dilahirkan di Alor Setar pada tahun 1951 dan berketurunan dari Hadhramaut, Yaman. Pada mulanya, bapanya seorang yang suka mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berdagang. Sikap bapanya diwarisi oleh beliau dimana beliau juga banyak mewujudkan jaringan usahawan.
Pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada BERNAS dan mendapat kontrak membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA, Pernas edar dan beberapa anak syarikat Perbadanan Ekonomi Negeri Johor. Kemudian, bagi mengembangkan perniagaannya, beliau, membekalkan komoditi lain iaitu gula melalui Bukhary Sdn. Bhd sehingga ke hari ini. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersama anak syarikatnya mendapatkan kontrak membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu, dan minyak sapi kepada kerajaan. Apabila beliau mendapat kontrak tersebut, beliau menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd pada tahun 1979 dimana syarikat ini mempunyai usahasama dengan New Zealand Milk Products dan memasarkan produk dibawah jenama Fernleaf dan Anchor.

2.2       MENGAMBIL RISIKO
Konsep yang memperihalkan kebarangkalian berlakunya kemungkinan tertentu. Tanggapan risiko tidak bergantung pada tanggapan nilai, oleh itu kemungkinan berkenaan tidak kira baik mahupun buruk akibatnya. Sungguhpun begitu, secara amnya risiko membincangkan kesan buruk terhadap sesetengah ciri-ciri nilai yang timbul akibat kejadian yang akan berlaku.

Michael Ng Kweng Chong merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Globetronics Technology Bhd (GTB) dan mempunyai kelulusan kejuruteraan mekanikal di University of London.
Sebelum beliau mengasaskan GTB pada tahun 1991, beliau pernah bekerja selama 18 tahun dengan pengeluar cip intel dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Amerika Syarikat dan Asia Pasifik. Kini, intel merupakan pelanggan utama GTB dimana, intel tetap membantu beliau meskipun beliau telah meletakkan jawatan.
Michael Ng Kweng Chong mengambil risiko dengan hanya merekrut 2 orang pekerja sahaja untuk menguruskan syarikatnya. Kini GTB menjadi komponen elektronik terpenting di Malaysia dengan 2,500 orang pekerja. GTB masih berdiri teguh dengan keuntungan walaupun syarikat pengeluaran cip lain mengalami kerugian.

2.3       PROAKTIF
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, proaktif ialah bersikap positif dengan merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan lebih awal daripada jangkaan berlakunya sesuatu perkara atau kejadian.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Saleh Sulong bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Beliau pernah berkhidmat sebagai akauntan dengan Cycle & Carriage Bintang Berhad, Cycle & Carriage (Malaysia) Sdn Bhd dan United Cycle Sdn Bhd selama 10 tahun sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan Master-Carriage pada tahun 1984.
Beliau mengambil alih sebagai Pengerusi Diversified Resouces Berhad selepas kematian Tan Sri Yahaya Ahmad pada tahun 1997. Pada tahun 1995, Diversified Resouces Berhad mengambil alih Hicom Holdings Berhad dan seterusnya menguasai Perusahaan Automobil Nasional (Proton) Berhad. DRB kemudianya menjalani proses penstrukturan semula di mana beliau menggabungkan beberapa kumpulan syarikat antaranya syarikat Hicom Holdings, Gadek (M) Berhad dan Gadek Capital Berhad yang digabungkan di bawah DRB-Hicom Berhad di mana ciri proaktif yang ditonjolkan oleh Tan Sri Saleh adalah dengan menguasai 11.9 kepentingan dalam DRB-Hicom. DRB-Hicom mempunyai kepentingan dan usahasama yang melibatkan pemasangan kereta Honda di Malaysia. Tan Sri Saleh juga mempunyai kepentingan dalam syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad.

2.4       PEMERHATIAN
Bagi mengembangkan perniagaan mereka, pemerhatian yang tajam dan teliti bagi seorang usahawan adalah penting untuk mereka mencari peluang-peluang yang ada pada masa akan datang.

Tan Sri Rozali dilahirkan pada bulan Disember 1957. Tan Sri Rozali adalah peguam yang kemudiannya melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan, beliau bekerja dengan kerajaan dan lapan agensi kerajaan selama lapan tahun. Selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1981, Tan Sri Rozali memulakan kerjayanya di Biro Penyiasatan Kebangsaan sebelum bekerja dengan UDA sebagai Penasihat Undang-undang dalam perkara yang berkaitan dengan pekerja,pembangunan dan perancangan.
Tan Sri Rozali Ismail adalah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad. Kejayaan besarnya tiba apabila beliau memiliki 33.9 peratus kepentingan dalam Puncak Niaga Holdings Berhad. Tan Sri Rozali Ismail adalah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad. Beliau pernah menjalankan perniagaan dalam bidang guaman, pembangunan hartanah, pembinaan dan juga perbankan.
Kerajaan Negeri Selangir dan Wilayah Persekutuan memberi kepercayaan kepada Tan Sri Rozali bagi menguruskan penapisan air di Selangor disebabkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang. Puncak Niaga Holdings Berhad memegang konsesi dalam 28 buah pusat rawatan air di Selangor, menjadikannya pembekal air yang terbesar di Selangor dengan membekalkan 1,929 juta liter air sehari. Konsesi itu berakhir pada tahun 2020.
Beliau membuat pemerhatian dan membuat penswastaan ke atas Puncak Niaga Holdings Berhad dengan membeli 70% saham daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk meningkatkan peratusan keuntungan syarikatnya di samping membekalkan sumber air kepada masyarakat.

2.5       BERWAWASAN
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, berwawasan ialah pandangan terutama yang berkaitan dengan kemajuan dan perkembangan masa hadapan bagi mancapai matlamat penting sesebuah negara atau organisasi.

Dato’ Seri Dr. Hajjah Hasmizah Othman merupakan jutawan wanita dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd yang mengeluarkan produk asas iaitu Pamoga dan Qu Puteh. Beliau mendapat pendidikan dalam Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu dan Sejarah) dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang Biologi di Universiti Monash.
Beliau berwawasan untuk mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan bagi memastikan kesihatan masyarakat terjaga di samping mendapat keuntungan. Beliau juga sangat meminati dalam perniagaan di mana beliau bermula dari bawah dengan menjual nasi lemak dan kuih-muih. Namun dengan kecekalan dan kesungguhannya, beliau Berjaya membuka empayar perniagaan yang lebih besar iaitu Vida Beauty Sdn Bhd yang mempunyai ratusan pekerja. Kejayaan beliau dapat dilihat dengan penajaan yang dilakukan dalam media massa iaitu rancangan reality seperti Gegar Vaganza, Mentor Milenia TV3, AJL 29 dan lain-lain termasuk pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors yang kini dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

2.6       BUDAYA TERBUKA
Budaya terbuka ialah konsep pengetahuan ilmu yang disebarkan secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana perlindungan undang-undang harta intelek semasa seperti pembangunan, penukaran yang telah sedia ada di atas perkongsian dan kerjasama.

Kevin Systrom dilahirkan pada tarikh 30 Disember 1983 dan dibesarkan di Holliston di HMassacahusetts, Amerika Syarikat. Bapanya berkerja sebagai Pengurus Sumber Manusia dan ibunya merupakan seorang Eksekutif Pemasaran. Kevin Systrom menyambung pelajaran di Stanford University dalam bidang Management Science and Engineering dan kemudian menamatkan pengajian pada tahun 2006. Beliau pernah bekerja sambilan di syarikat startup, iaitu Odeo. Kemudian, Odeo semakin berkembang dan dikenali sebagai Twitter. Seterusnya, Kevin Systrom bekerja sebagai Pengurus Pemasaran dengan Google dan memasarkan produk seperti Gmail, Google Calendar, Docs dan sebagainya.
Selepas Instagram diasaskan, ia mampu merangkul 1 juta pengguna. Setahun kemudian, Instagram mencapai lebih daripada 10 juta pengguna. Dan pada tahun 2012, Instagram berjaya bersaing dengan Facebook. Instagram akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran pengambilalihan Facebook dengan nilai US $ 1 bilion.

2.7       KEGAGALAN ADALAH SUATU PILIHAN
Bidang keusahawanan merupakan suatu bidang yang mempunyai risiko yang tersendiri. Salah satu contoh risiko dalam bidang keusahawanan adalah kegagalan. Kajian mendapati bahawa, 8 daripada 10 perniagaan yang dimulakan akan mengalami kegagalan terlebih dahulu sebelum sesebuah perniagaan itu dikategorikan sebagai perniagaan yang berjaya. Kegagalan merupakan titik permulaan kepada kejayaan. Dengan adanya kegagalan, ia dijadikan sebagai inspirasi dan semangat kepada usahawan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik dalam perniagaan mereka dan ada yang menganggap ini sebagai cabaran yang harus ditempuh bagi mengecapi kejayaan. Apa yang perlu diketahui oleh usahawan ialah, mereka perlu belajar dari kegagalan dan kebanyakan usahawan yang berjaya mereka memegang teguh kepada prinsip kegagalan adalah suatu pilihan.

Sebagai contoh tokoh usahawan berjaya yang percaya kepada prinsip ini ialah Tan Sri Anthony Francis Fernandes yang merupakan pengasas kepada Tune Air Sdn Bhd. Beliau memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan slogannya, “Now Everyone Can Fly”. Meskipun syarikat penerbangan Air Asia ini telah stabil kedudukannya di Malaysia, namun beliau juga pernah mengalami kegagalan pada 28 Desember 2014. Peristiwa yang berlaku adalah terhempasnya salah satu daripada pesawat Air Asia iaitu pesawat QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata, Indonesia. Semua penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut disahkan terkorban dan lebih mendukacitakan apabila persepsi masyarakat mulai menurun terhadap syarikat penerbangan ini. Jumlah penumpang juga semakin berkurangan kerana kejadian yang berlaku dan ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi syarikat ini dan keuntungan yang diperolehi juga semakin menurun. Walaubagaimanapun, beliau mengharungi kegagalan ini dengan penuh tabah dan menganggap kegagalan ini sebagai nilai pengajaran kepada beliau dalam mengendalikan syarikat penerbangan ini. Beliau berusaha untuk membayar pampasan kepada waris mangsa meskipun keuntungan yang diperoleh menurun dan beliau juga berusaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk kembali menaikkan nama syarikat penerbangan Air Asia ini. Musibah yang dihadapi ini dijadikan pengajaran kepada beliau dan beberapa bulan kemudian, beliau mengarahkan setiap anak syarikatnya untuk memeriksa setiap pesawat sebelum berlepas dan membuat penilitian terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi. Kesimpulannya, kegagalan ini membuka mata beliau untuk memberikan sesuatu yang lebih baik dalam syarikat penerbangannya dan kini, (2016) syarikat Air Asia mula mengorak langkah dalam menerajui syarikat penerbangan di Malaysia mahupun di Asia.

2.8       BERORIENTASIKAN PASUKAN
Berorientasikan pasukan membawa maksud setiap individu dalam organisasi saling bekerjasama dalam melaksakan misi mahupun matlamat yang ingin dicapai. Individu-individu ini bergabung tenaga dalam membincangkan dan melaksanakan segala perancangan perniagaan mereka. Gabungan idea dan buah fikiran dari kerjasama ini pastinya membuah hasil yang positif kerana idea idea yang bernas bukanlah diterima dari seorang individu sahaja, malah pendapat dan idea individu lain juga turut diterima. Kerjasama dalam kumpulan dapat mengumpulkan idea yang dapat menghasilkan satu projek yang lebih sempurna dan mengurangkan kesalahan. Selain itu, bekerja dalam kumpulan dapat belajar cara mendengar dan memahami cadangan usahawan lain dan sikap bertanggungjawab yang perlu diamalkan. Apabila semua ahli mempunyai pandangan dan pendapat yang bertentangan, banyak perbincangan akan dilakukan untuk menetapkan keputusan terakhir atas pertimbangan antara semua usahawan. Dengan adanya kata sepakat, maka keputusan yang dibuat lebih dinamik dan lebih berkesan. Selain itu, menurut sumber kedua, Yeop Hussin Bidin (2006), kerja berpasukan bermaksud kerjasama antara pengurus ataupun ketua jabatan yang bertanggungjawab merancang, dan kakitangan yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Tokoh usahawan berjaya yang boleh dijadikan contoh bagi ciri berorientasikan pasukan ialah Walt Elias Disney. Beliau yang juga dikenali sebagai Walt Disney merupakan seorang penerbit filem, juruanimasi, dan pelakon suara yang terkemuka dan berpengaruh dalam bidang hiburan di Amerika Syarikat. Beliau merupakan pengasas kepada Walt Disney Productions bersama abangnya Roy O. Disney yang merupakan salah seorang penerbit filem tersohor di dunia. Beliau merupakan penerbit filem yang mempunyai daya inovasi yang tinggi dalam bidang animasi dan reka bentuk taman tema. Namun, idea-idea dalam organisasi beliau bukanlah datang dari beliau sahaja, malah, beliau bergabung tenaga dan pemikiran dengan kakitangan pejabat dalam menghasilkan watak watak animasi yang terkenal misalnya Mickey Mouse. Dalam usaha mengusahakan syarikat The Walt Disney, Walt Disney telah mengamalkan 4 konsep petunjuk kerja iaitu ‘Bermimpi, Percaya, Berani dan Melakukan’. Konsep-konsep ini telah menjadi asas kepada 10 prinsip pengurusan untuk pasukan kakitangan syarikat. Salah satu prinsip pengurusan ialah “All for One and One for All”. Ini menunjukkan kepentingan kerja berpasukan dan memperkasakan pekerja. Syarikat The Walt Disney memupuk pekerja supaya setia, bersemangat dan berkomitmen. Semangat kerja berpasukan inilah yang membolehkan syarikat ini berkembang maju dan Walt Disney menekankan kerja berpasukan kerana beliau mempercayai bahawa apa sahaja mampu dicapai menerusi hasil kerja berkumpulan

2.9       BERORIENTASIKAN HASIL
Berorientasikan hasil membawa maksud, mempunyai matlamat yang jelas untuk memperoleh hasil dari sesuatu perniagaan yang diceburi. Setiap usahawan di dunia ini semestinya mempunyai keinginan untuk mendapatkan hasil yang lumayan dari titik peluh mereka dalam perniagaan di dunia keusahawanan ini. Jika ditanya kepada mana-mana usahawan sekalipun, semestinya mereka mengharapkan untung daripada perniagaan mereka. Hal ini kerana, untung yang diperoleh boleh dijadikan sebagai salah satu sumber kewangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Disamping itu, hasil/untung yang diperoleh juga boleh menaikkan lagi semangat mereka untuk terus berniaga dalam dunia keusahawanan ini. Pendapat yang lain mengatakan, berorientasikan hasil ini membawa maksud, usahawan ini lebih fokuskan kepada mutu hasil kerja yang dikeluarkan dan matlamat mereka ialah menghasilkan produk yang berkualiti dan berguna kepada pengguna. Kedua-dua pendapat ini diterima kerana ia membawa kepada kejayaan para usahawan. Usahawan yang mempunyai ciri ini akan lebih proaktif dan bersemangat untuk mencapai matlamat perniagaannya dan bersungguh-sungguh ingin berjaya dalam bidang perniagaannya.

Gambar diatas merupakan seorang usahawan yang berjaya iaitu Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Beliau merupakan pengasas kepada suatu jenama beras iaitu Beras Faiza di bawah Syarikat Faiza Sdn Bhd. Pada permulaannya, beliau memulakan perniagaan dengan menerima tempahan baju untuk dijahit dan upahnya hanya Rm4 sahaja. Kemudian menceburi bidang yang seterusnya iaitu menjual rempah ratus. Apa yang membuatkan beliau menceburi pelbagai bentuk perniagaan ini adalah kerana hasil yang diperolehinya membuatkan beliau ingin mencuba sesuatu yang baru yang boleh mendatangkan hasil yang lebih baik. Kemudian, beliau berminat untuk menjadi menjadi pengasas kepada jenama beras beliau sendiri yang diberi nama Beras Faiza. Apa yang boleh dikaitkan disini ialah, dalam proses pengeluaran beras jenama beliau sendiri, beliau sentiasa inginkan mengeluarkan keluaran yang bermutu dan berkualiti untuk pengguna-pengguna beras beliau. Beliau berpendapat bahawa, sekiranya produk yang dikeluarkan berkualiti, maka produk tersebut akan mendapat kepercayaan orang ramai dan jualan beras ini juga akan meningkat. Beliau bukan sahaja mementingkan untung semata-mata, namun untung yang diperoleh adalah selari dengan kualiti beras yang dikeluarkan oleh syarikat beliau. Selain itu, beliau sangat mengutamakan proses yang syarikat beliau lakukan dalam menyelesaikan tugas sama ada ianya berjalan lancar, dan efisien atau tidak. Malahan, beliau adalah usahawan yang berjaya yang sangat menitikberatkan keberkesanan dan keefektifan sesuatu kerja yang melibatkan modal, tenaga, waktu dan sebagainya. Berdasarkan ciri ini, dapat kita ketahui bahawa, beliau berjaya kerana beliau berorientasikan hasil yakni menginginkan hasil keluaran yang terbaik disamping mendapat untung yang sewajarnya dan inilah kunci kepada kejayaan beliau.
  
3.0       DATO 'ANTHONY FRANCIS FERNANDES
Dato 'Anthony Francis Fernandes dilahirkan pada 30 April 1964. Beliau juga dikenali sebagai Tony Fernandes. Beliau merupakan seorang usahawan Malaysia dan juga pengasas Tune Air Sdn. Bhd. Tune Air Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat penerbangan yang memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan  slogannya,  "semua orang boleh terbang".
Beliau mula dikenali apabila beliau memulihkan Air Asia daripada sebuah syarikat penerbangan yang mundur kepada sebuah syarikat awam yang cemerlang. Fernandes juga memainkan peranan penting dalam melobi Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada pertengahan tahun 2003, beliau memberi dan mencadangkan idea untuk mencapai satu perjanjian Langit Terbuka dengan negara jiran, Thailand, Indonesia, dan Singapura.
Beliau ialah seorang bangsa Goa bercampuran Portugis Melaka yang dilahirkan di Kuala Lumpur. Bapanya ialah Dr. Stephen Edward Fernades .Manakala ibunya ialah Ena Dorothy Fernandes. Selepas mendapat ijazah universiti daripada London School of Economics. Pada tahun 1987, beliau bekerja sementara dengan Virgin Airlines sebagai juruaudit dan seterusnya pada tahun 1987 sehingga 1989 beliau bekerja sebagai pengawal kewangan  kepada Virgin Records, sebuah syarikat Richard Branson di London.
Sewaktu kembali ke Malaysia pada umur 27 tahun, beliau menjadi pengarah urusan yang termuda di Warner  Music (Malaysia) Sdn. Bdn. Selanjutnya dari tahun 1992 sehingga 2001 , beliau menjadi naib presiden Wilayah Asia Tenggara Selatan bagi kumpulan Warner Music.Pada masa Time Warner Inc bergabung dengan America Online .Fernades meninggalkan syarikatnya bagi mengejar impiannya untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah. Malangnya permohonan lesennya ditolak oleh kerajaan Malaysia.
Melalui Datuk Pahamin bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Fernandes mendapat peluang bertemu dengan Dr. Mahathir pada Oktober, 2001.Semasa itu, Air Asia, sebuah anak syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-Hicom, sebuah konglomerat kerajaan Malaysia telah  kesulitan disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi. Kerajaan telah mencuba menjual kepada pelabur tetapi tidak mencapai kejayaan. Oleh sebab itu, Dr. Mahathir telah menasihati Fernandes supaya membeli syarikat  penerbangan yang sedia ada, baik daripada menubuhkannya sendiri.
Seterusnya, Fernandes memajak rumahnya dan menggunakan keseluruhan wang simpanannya untuk membeli syarikat tersebut dengan harga seringgit. Syarikat Air Asia pada masa itu mempunyai 2 buah kapal terbang Boeing yang berumur, dan berhutang sebanyak RM40 juta. Peristiwa pembelian itu pada masa selepas 11 September 2001 iaitu sesuatu tempoh masa yang paling teruk dalam sejarah perindustrian penerbangan perdagangan, menyebabkan orang ramai berpendapat bahawa Fernandes telah menjadi gila kerana tiada orang ramai yang berani lagi menaiki  kapal terbang. Mereka juga meramal bahawa syarikat Air Asia akan muflis. 
Walau bagaimanapun selepas setahun, Air Asia mampu menjelaskan keseluruhan hutangnya, dan tidak lagi mengalami kerugian. Penyusunan semula organisasi Air Asia dengan imej dan konsep yang membawa perubahan besar dan memperoleh keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. Malah, tawaran sahamnya (IPO) pada November 2004 menerima lebihan permintaan sebanyak 130 peratus.

Antara ciri-ciri yang telah digunakan oleh Tan Sri Tony Fernandes untuk memajukan AirAsia ialah:-
      a.      BERORIENTASIKAN PASUKAN
Pasukan yang berorientasikan bermaksud pengurusan dalam sesuatu organisasi atau boleh dikatakan sebagai kerja pasukan. Tan Sri Tony Fernandes menggunakan ciri-ciri tersebut bagi mengembangkan dan memantapkan lagi organsasi syarikat Air Asia. Ciri-ciri ini juga mampu untuk menyerlahkan potensi dan bakat serta dapat meningkatkan prestasi organisasi sekirannya melakukan tugasan yang melibatkan kemahiran, pengalaman dan penilaian. 
Sebagai contoh, Tan Sri Tony Fernandes menggelarkan pekerja-pekerjanya Allstar kerana bagi Air Asia faktor utama yang menyumbangkan kepada kemajuan dan dan kejayaan Air Asia adalah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerjanya. Hal ini demikian kerana, Syarikat Air Asia dahulu merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-Hicom, sebuah konglemerat kerajaan Malaysia, telah mengalami kesulitan disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi. Namun selepas 9 tahun syarikat tersebut dijalankan telah menyebabkan AirAsia sekarang mempunyai  aset yang bernilai hampir RM 4 billion dan mencatatkan keuntungan sebanyak RM549 juta. Hal ini kerana, kejayaan tersebut dilakukan secara berorientasikan pasukan bagi memajukan syarikat AirAsia. 
Bagi melahirkan pekerja berorientasikan pasukan yang berkesan, AirAsia bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya malah AirAsia mengambil inisiatif menubuhkan Unit Budaya Korporat yang yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerja. Malahan, selepas peristiwa 11 September, ramai pekerja yang berpengalaman dari syarikat penerbangan yang lain telah dipecat bagi mengurangkan kos untuk meningkatkan keuntungan. Hal ini menyebabkan Tan Sri Tony Fernandes telah mengambil kesempatan dengan melantik mereka yang berpengalaman sebagai pekerja AirAsia sekali gus dapat menjimat kos Air Asia hanya selepas setahun.
     b.      KEGAGALAN ADALAH SATU PILIHAN
Seorang usahawan pasti akan mengalami pasang surut dalam bidang yang diceburi. Hal ini turut dihadapi oleh dihadapi oleh CEO AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. Pada 28 Disember 2014, beliau telah menerima satu berita sedih apabila mengetahui bahawa salah satu daripada pesawat AirAsia iaitu QZ8501 telah mengalami kecelakaan dan terhempas di Selat Karimata, Indonesia. Seramai 162 orang yang berada dalam pesawat tersebut dan semuanya terkorban. Ini sangat mendukacitakan apabila persepsi orang ramai mula mengatakan AirAsia adalah punca kejadian ini dan mereka sudah memandang rendah terhadap syarikat ini.      
Akan tetapi, bagi Tan Sri Tony Fernandes, ini bukanlah kegagalan untuk segalanya. Beliau tabah menghadapi musibah ini dan berusaha mengambil langkah penyelesaian dengan membayar pampasan kepada mangsa-mangsa kemalangan. Mangsa bukan sahaja terdiri daripada warga Indonesia, tetapi juga daripada negara-negara lain seperti Korea Selatan, Perancis, Malaysia, Singapura dan United Kingdom. Semasa tempoh penyiasatan pula, setiap pelusuk badan pesawat diperiksa dan mencari apakah punca kemalangan ini. Banyak negara menghantar bantuan pencarian bangkai pesawat dan mangsanya. Waris mangsa juga sentiasa diberitahu info tentang berita terkini berkenaan kes tersebut. Oleh itu, terdapat banyak cara penyelesaian yang dilakukan oleh CEO AirAsia ini untuk kembali berjaya setelah menerima satu masalah.
Kesimpulannya, terbuktilah bahawa ciri ini iaitu kegagalan ialah satu pilihan adalah benar dan Tan Sri Tony Fernandes sendiri telah mengalaminya. Beliau telah mengamalkan ciri yang betul dan tidak memilih kegagalan sebagai pilihan. Tetapi beliau telah memilih untuk mengelakkan kegagalan tersebut. Selepas kejadian tersebut, beliau telah menyuruh setiap anak syarikatnya untuk memeriksa segala pesawat sebelum berlepas serta meningkatkan langkah keselamatan pesawat dan penumpang. Tidak dapat dinafikan bahawa beliau mengalami kerugian yang amat besar tetapi ini merupakan pengajaran untuk beliau dan orang lain supaya lebih berhati-hati dan lebih peka pada masa yang akan datang. 
      c.       MENGAMBIL RISIKO TERBUKA 
Mengambil risiko terbuka bermaksud risiko tersebut berkemungkinan akan mengalami kerugian ataupun keuntungan. Banyak kajian mendapati kecenderungan mengambil risiko adalah sebahagian daripada ciri keperibadian usahawan berjaya. Setiap perniagaan sama ada perniagaan kecil ataupun besar akan mengambil risiko untuk mendapatkan hasil yang lumayan serta membuat sesuatu perubahan dalam memantapkan lagi perniagaan tersebut. Namun begitu, ciri mengambil risiko terbuka ini hendaklah dirancang dengan teliti dan selamat serta perlu diimbangi dengan pengetahuan dan kefahaman supaya risiko tersebut tidak mendatangkan masalah kepada perniagaan.  
Sebagai contohnya, usahawan yang mengamalkan ciri ini ialah Air Asia yang diterajui oleh Tony Fernandez. Beliau juga dikenali sebagai Tony Fernandes ialah seorang usahawan dari Malaysia dan pengasas "Tune Air Sdn Bhd", yang memperkenalkan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia dengan slogannya, "Semua mampu naik kapal terbang". Fernandes mencapai kemasyhuran sewaktu dia memulihkan AirAsia daripada sebuah syarikat penerbangan yang mundur kepada sebuah syarikat awam yang cemerlang.
Syarikat Air Asia dahulu merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-Hicom, sebuah konglemerat kerajaan Malaysia, telah mengalami kesulitan disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi. Tan Sri Anthony Francis Fernandes telah mengambil risiko dengan membeli syarikat tersebut dengan harga satu ringgit dan mempunyai hutang dalam anggaran RM 40 juta dan hanya mempunyai dua kapal terbang terpakai Boeing 737-300, terbang hanya ke satu destinasi, membawa 250,000 penumpang setahun dan mempunyai hanya 250 pekerja.
Namun selepas 9 tahun syarikat yang telah dipimpin oleh Tan Sri Anthony Francis Fernandes AirAsia sekarang bernilai hampir RM 4 billion, mencatat keuntungan sebanyak RM549 juta, memiliki lebih 85 pesawat Airbus A320 dan A330, terbang terus melalui lebih 130 laluan perjalanan ke 70 destinasi seluruh dunia, menerbangkan lebih 20 juta orang penumpang setahun dan kini mempunyai lebih dari 8,000 orang pekerja di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Hal ini menyebabkan syarikat ini antara pesaing terbesar syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa utama lain yang telah lama beroperasi seperti Malaysia Airlines Sistem (MAS), dan Singapore Airlines (SIA).
      d.      PROAKTIF
Tony Fenandes ialah seorang usahawan yang proaktif akan bertindak lebih agresif dalam segala tingkah laku dan tindakan dalam dunia perniagaan penerbangan iaitu Air Asia. Beliau memiliki matlamat, wawasan dan sentiasa mahu maju ke hadapan. Tony Fenandes lebih kreatif dan proaktif menghasilkan perkhidmatan terbaik dalam industri Penerbangan. Beliau juga proaktif melibatkan pencarian peluang baru yang di luar bidang operasi perniagaan. Beliau yang  tindakannya secara cepat dan agresif apabila merebut peluang di depan mata iaitu  apabila Datuk Pahamin Ab. Rajab, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna pada ketika itu, telah mengatur pertemuan antara Tan Sri Tony Fernandes dengan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Beliau menyatakan hasrat beliau untuk membuka syarikat penerbangan sendiri. Namun Dr. Mahathir mencadangkan kepada beliau untuk membeli syarikat penerbangan yang sedia ada. Beliau bertindak segera dan proaktif apabila beliau memajak rumahnya dan menggunakan keseluruhan wang simpanannya untuk membeli Air Asia bersama tenaga kerja dan aset yang dimiliki Air Asia ketika itu termasuk dua buah kapal terbang usang. 
Beliau juga telah penyusunan semula organisasi Air Asia dengan imej dan konsep yang baru membawa perubahan yang besar dan memperoleh keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. Tawaran sahamnya (IPO) pada November 2004 menerima lebihan permintaan sebanyak 130 peratus. Hal ini kerana usahawan yang proaktif adalah berkaitan dengan usahawan yang bertindak secara inisiatif terhadap peluang dalam pasaran, tindakan mengambil peluang ini ialah untuk membentuk sesuatu persekitaran baru. Beliau bertindak juga secara proaktif apabila Tan Sri Tony Fernandes turut menjalankan perniagaan lain yang beroperasi di bawah Kumpulan Tune iaitu Tune Hotels, Tune Money, Tune Talk, Tune Sports, Tune Studio dan Kuala Lumpur Education City (KLEC). Syarikat penerbangan Air Asia berada di bawah perniagaan Tune Air. Selain itu, Tan Sri Tony Fernandes  juga membuat pelaburan ke atas MU, pengadil, Formula 1, LA Rangers dan sebagainya.
Selepas 9 tahun, Syarikat tersebut bernilai hampir RM 4 billion, mencatat keuntungan sebanyak RM549 juta, memiliki lebih 85 pesawat Airbus A320, dan terbang terus melalui lebih  130 laluan ke 70 destinasi seluruh dunia dan menerbangkan lebih 20 juta orang penumpang. 
      e.       BERWAWASAN
Tony Fernandes merupakan seorang yang mempunyai wawasan yang berani, menyeluruh dan berpandangan jauh untuk semua syarikatnya. Sejak kanak-kanak beliau mengimpikan tiga perkara iaitu mengusahakan syarikat penerbangan, memiliki satu kelab bolasepak English dan mempunyai pasukan pelumba Formula One. Sejak usia muda, Fernandes sudah mengimpikan idea penerbangan yang murah merentasi asia semasa beliau belajar di sekolah berasrama penuh di England dan beliau juga jarang pulang ke rumahnya kerana kos penerbangan yang tinggi. 
Fernandes, kelahiran Malaysia paling menonjol, mantan pendidikan eksekutif Warner Music-British, mengimpikan pengurusan penerbangannya menggunakan bajet beliau sendiri sejak beliau masih belajar, kata beliau kepada BBC tahun 2010. Beliau juga pernah berkata di BBC tahun 2010 "Bagi penerbangan saya yang pertama, saya enggan melancarkannya ke Australia dan China, dan kebanyakan orang merasakan hal itu agak ganjil", katanya lagi, "saya ingin penerbangan pertama saya di London-Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya merangkul anugerah International Herald Tribune bagi “Visionaries and Leadership Series”, kerana kerja beliau yang mengagumkan dalam AirAsia.

4.0       KESIMPULAN
            Secara kesimpulannya, usahawan adalah orang yang mengambil risiko yang sederhana dan risiko yang telah diperhitungkan untuk memulakan atau menubuhkan perniagaan atau perusahaan dan mengusahakannya. Usahawan juga merupakan individu yang mempunyai ciri-ciri istimewa yang berbeza dengan individu lain.
Setiap usahawan yang ingin berjaya haruslah mempunyai beberapa ciri yang akan membantu mereka untuk mencapai matlamat. Setiap usahawan atau ahli perniagaan boleh mengejar kejayaan di samping memperoleh pendapatan daripada apa yang diusahakan. Terdapat banyak cirri dan sifat positif yang dimiliki oleh seseorang ushawan seperti mempunyai jaringan, mengambil risiko yang sederhana, proaktif, pemerhatian, berwawasan, budaya terbuka, kegagalan adalah suatu pilihan, berorientasikan pasukan serta berorientasikan hasil. Ciri-ciri dan sifat positif akan membantu usahawan semasa mereka membina karier dalam bidang perniagaan.
Bidang keusahawanan adalah satu bidang yang sangat penting pada masa kini. Hal ini kerana demikian bidang keusahawanan akan dapat memberi manfaat kepada pelbagai aspek. Sebagai contohnya, usahawan dapat meningkatkan pendapatan negara, menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat, menjadi sumber inspirasi atau role model, membangunkan industri sokongan dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Seterusnya, masyarakat akan menikmati taraf hidup yang tinggi jika sesebuah negara maju.

            Pendek kata, keusahawanan melalui proses kreativiti dan inovasi untuk mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak manusia. Ia juga menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna. Mereka akan mencari kaedah yang lebih baik untuk memaksimakan sumber dan mengurangkan pembaziran supaya dapat menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat. Dengan ini, masyarakat akan menikmati produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang berpatutan.